Malah, penganalisis sukan tempatan, Afizal Abu Othman menyifatkan kewujudan posisi itu kelak juga akan merancakkan lagi proses pembaharuan ekosistem bola sepak negara secara keseluruhan.
“Mengapa tidak kita mencuba sesuatu yang baharu sesuai dengan perubahan semasa dunia era bola sepak moden yang lebih dinamik ketika ini.
“Malah ini juga akan seiring pengurusan skuad Harimau Malaya selepas ini, yang akan diketuai seorang CEO seperti yang dikongsikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebelum ini.
“Kita sebenarnya boleh mengambil positif perkara ini kerana terdapat persatuan bola sepak di Eropah mula mempraktikkan pendekatan ini, contoh seperti di England dioperasikan CEO,” katanya kepada Sukan Sinar.
Melihat lebih jauh peranan CEO, Afizal juga Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya (UM) percaya pelantikan individu berpengalaman bidang pembangunan perniagaan sukan yang akan melapor kepada presiden dan lembaga pengarah secara tidak langsung dapat menaikkan imej bola sepak negara.
Jelas Afizal, paling penting juga dapat menjana pendapatan persatuan induk menerusi kemasukan penajaan terhadap pembangunan bola sepak negara seterusnya tidak perlu terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.
Namun untuk permulaan, Afizal juga mencadangkan tempoh masa lima tahun sebagai masa sesuai untuk melihat keberkesanan peranan CEO dalam badan induk tersebut.
“Trial and error akan berlaku sepanjang tempoh ini, namun itu adalah realiti perlu dihadapi sekiranya kita mahu melihat revolusi bola sepak negara berjaya di segenap peringkat.
“Dan sebaiknya kita corakkan dengan DNA atau 'Cara Malaysia' supaya lebih serasi dengan ekosistem bola sepak negara ini.
“Saya juga percaya, dengan wujudnya CEO FAM, ia akan menjadi teras kepada CEO atau COO (Ketua Pegawai Operasi) lain dalam aliran FAM seperti MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan AFL (Liga Bolasepak Amatur),” katanya.
Ditanya berkemungkinan berlaku pertindihan kuasa sekiranya pendekatan itu digunapakai dalam FAM, Afizal percaya situasi sedemikian tidak akan berlaku sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan badan induk tersebut bagi menyusun semula operasi.
Sementara itu, Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias ketika diminta mengulas saranan berkenaan mengakui sememangnya persatuan sukan kebangsaan boleh mewujudkan jawatan bergaji seperti pengurus besar dalam persatuan sekiranya terdapat peruntukan tersebut dalam perlembagaan masing-masing.
“Persatuan sukan kebangsaan seperti Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), antara yang menggunakan pendekatan ini.
“Bagaimanapun ianya juga harus mengambilkira kemampuan kewangan persatuan untuk membiayai perkara tersebut, dan seterusnya meletakkan KPI (petunjuk prestasi utama) yang bersesuaian dengan matlamat pelan strategik masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis perasmian Kejohanan Boling Padang, Bukit Kiara. - Sinar Harian