Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun menyerahkan kepada anggota gabungan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) untuk menentukan masa depan persatuan itu, termasuklah memilih presiden baharu.

Beliau akan menyokong apa jua keputusan dibuat PBNS dan tidak mahu campur tangan dalam urusan persatuan itu kerana tahu, PBNS akan memilih sesiapa yang dirasakan layak untuk menjadi presiden mereka serta mampu meneruskan agenda bola sepak di Negeri Sembilan ke peringkat seterusnya.

"Yang penting kita kena pastikan tahun ini kita tidak turun ke Liga Perdana, saya minta semua pemain meneruskan permainan mereka dengan lebih baik supaya mereka terus berada dalam persada Liga Super," katanya kepada Bernama di sini.

Ditanya, adakah beliau bersedia memgang jawatan presiden PBNS sekiranya dicalonkan, Aminuddin berkata: "Saya tak nak apabila saya kata ya, nanti orang kata, Ooo...YB (Yang Berhormat) memang dah bersedia untuk jawatan itu. Jadi saya serahkan pada mereka (PBNS) untuk buat keputusan."

Pada 6 Jun lepas, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga presiden PBNS, melepaskan kesemua jawatannya dalam persatuan itu.

Turut mengambil langkah sama Naib Presiden PBNS Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin dan Datuk Abd Ghani Hassan.

-- BERNAMA