Pertemuan naib juara Terbuka Perancis, Tsitsipas, dan juara edisi 2012, Murray, merupakan perlawanan yang ditunggu-tunggu dalam pusingan pembukaan di Flushing Meadows dan aksi yang berlarutan selama hampir lima jam itu ternyata tidak mengecewakan, di mana Murray mengejutkan penonton di New York dengan prestasi terbaiknya.
Karier Murray sebelum ini hampir musnah kerana kecederaan - pemain berusia 34 tahun itu menjalani pembedahan meratakan tulang pinggul pada 2019 dan bergelut mendapatkan kecergasan terbaiknya selepas itu.
Bagaimanapun, dia yang hanya memiliki sepasang kasut yang dibasahi keringatnya sepanjang perlawanan itu, mengambil pendekatan positif sejak dari mula dan mencipta kejutan apabila memenangi dua set dalam perlawanan grand slam berkenaan.
Sebagai rekod, sepanjang 15 penyertaannya dalam Terbuka AS, ini merupakan kali pertama Murray - yang kini berada di ranking nombor 112 dunia - tewas dalam pusingan pembukaan di New York.
Tsitsipas, dalam pada itu, akan berdepan Adrian Mannarino dalam pusingan kedua.