Pemain nombor satu dunia itu terpalit kontroversi selepas terlepas daripada penggantungan, walaupun diuji positif kes doping dua kali pada bulan Mac.
Ramai yang berpendapat Sinner bernasib baik kerana tidak digantung, namun dia berjaya mengetepikan semua itu untuk memenangi gelaran grand slam kedua tahun ini dengan menamatkan impian Taylor Fritz di New York.
Pemain dari Itali itu menang 6-3, 6-4, 7-5 untuk menambah gelaran Terbuka AS kepada kejuaraan yang dimenanginya di Australia.
"Saya gembira bagaimana saya menangani situasi ini. Saya sangat teruja untuk memiliki trofi ini.
"Ia masih bermain dalam fikiran saya. Bukan bermakna ia telah hilang, tetapi apabila saya di atas gelanggang, saya cuba memberi tumpuan kepada permainan dan berusaha menangani situasi sebaik mungkin.
"Jelas sekali, ia sangat sukar untuk saya menikmati saat-saat tertentu. Cara saya berkelakuan atau berjalan ke gelanggang dalam beberapa kejohanan sebelum ini tidak sama seperti biasa, jadi sesiapa yang mengenali saya dengan baik pasti tahu bahawa ada sesuatu yang tidak kena.
"Tetapi sepanjang kejohanan ini, perlahan-lahan saya mula kembali merasakan siapa diri saya sebagai seorang individu.
"Ia bukan mudah, itu sudah pasti tetapi saya cuba kekal fokus, yang saya rasa saya melakukan tugas yang baik dari segi mental untuk kekal fokus...," katanya.
Sinner menafikan sebarang salah laku berhubung ujian dopingnya dan dibebaskan daripada kesalahan atau kecuaian oleh Badan Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA).
Tribunal bebas menerima penjelasan Sinner bahawa clostebol, agen anabolik yang boleh membantu pertumbuhan otot memasuki sistem badannya secara tidak sengaja melalui produk yang digunakan oleh seorang ahli pasukannya untuk merawat luka kecil.
Namun, dia tetap menerima kritikan hebat berhubung kepantasan kes itu diselesaikan, manakala beberapa pemain terkenal seperti Nick Kyrgios, mempersoalkan sama ada dia sepatutnya digantung.
Sinner memperoleh kelebihan apabila Carlos Alcaraz dan Novak Djokovic tersingkir awal.
-- BERNAMA