Nadal meraih kemenangan di Roland Garros, menewaskan Fucsovics 6-1, 4-6, 6-4 dalam perlawanan selama dua jam setengah.
Walaupun pemain Hungary itu mendahului 3-2 dalam set ketiga, Nadal mempamerkan kecekalannya untuk meraih kemenangan, lapor Xinhua.
"Ia satu keseronokan bermain menentang Rafa. Semangat juangnya masih di tahap tertinggi. Beliau mungkin tidak berada di tahap terbaiknya, tetapi jika beliau mempunyai hari yang baik, beliau boleh menewaskan sesiapa sahaja," kata Fucsovics selepas perlawanan.
"Saya mula bermain dengan sangat baik pada set pertama, dan kemudian saya hilang rentak di gelanggang, hilang sedikit fokus dan intensiti dan apabila itu berlaku, lawan mula bermain dengan lebih baik dan kemudian saya berada dalam kesulitan.
"Tetapi saya gembira dengan kemenangan ini; ia sangat bermakna untuk terus maju dan berpeluang bermain lagi esok," kata pemain Sepanyol berusia 38 tahun itu yang telah merangkul 14 gelaran Terbuka Perancis di Roland Garros.
Kemenangan itu membuka jalan untuk pertembungan hebat pada Isnin, apabila Nadal akan bermain menentang pesaing lamanya Novak Djokovic yang mempunyai 24 gelaran Grand Slam, dua lebih banyak daripada pemain Sepanyol itu.
"Ia selalu sangat istimewa untuk bermain menentang Novak. Tetapi biasanya kami bermain untuk perlawanan akhir atau separuh akhir. Ini adalah pusingan kedua.
"Memang benar setiap perlawanan yang saya hadapi menentang Novak, atau hampir setiap perlawanan, saya berada dalam situasi yang berbeza daripada hari ini, jadi itu membuatnya lebih sukar untuk saya.
"Saya selalu berharap, saya selalu percaya dan saya mahu memberikan yang terbaik," kata Nadal.
-- BERNAMA-XINHUA