SHAH ALAM: Jumlah keseluruhan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC yang bermula 26 Jun 2024 sehingga 2 Julai ditutup dengan sumbangan berjumlah RM76,490.06.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keseluruhan jumlah sumbangan itu akan diserahkan kepada Selangor FC bagi membantu pasukan tersebut memperjuangkan keadilan hingga ke peringkat tertinggi.

"Inisiatif ini memberi ruang kepada rakyat Malaysia dan para peminat bola sepak negara merentasi batas kenegerian menzahir solidariti kepada Selangor FC dan berdasarkan sambutan yang memberansangkan yang diterima terhadap sumbangan solidariti Bersama Selangor FC, kita dapat melihat bagaimana sokongan kuat yang telah diberikan dari seluruh rakyat Malaysia yang turut tidak bersetuju dengan beberapa keputusan walaupun keputusan itu telah ditarik balik atau diubah Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Di sini saya ingin memaklumkan bahawa secara keseluruhannya, inisiatif ini berjaya mengumpul sebanyak RM76,490.06 dan hasil daripada sumbangan ini akan disumbang kepada pihak Selangor FC," katanya pada sidang media majlis penyerahan kutipan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC di pejabatnya pada Rabu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan Mohd Najwan Halimi merangkap sebagai Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) dan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon.

Tambahnya, selain daripada sumbangan awam, pihak mereka turut menerima sumbangan daripada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), KDEB Waste Management dan badan-badan korporat.

Amirudin berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih titah Sultan Selangor yang mencerminkan ketegasan dan kepekaan baginda terhadap pelbagai isu dan ketidakadilan dihadapi Selangor FC.