Dalam perlawanan berlangsung sengit di Vantaan Energia Areena itu, pasangan negara yang di kedudukan kelapan dunia itu dilihat belum cukup 'panas badan' apabila mudah ditewaskan dengan 15-21 pada set pertama.
Mereka kemudian berjaya memberikan tentangan sengit pada set kedua untuk melakar kemenangan 21-15 sekali gus mengheret perlawanan ke permainan penentuan.
Sze Fei-Nur Izzuddin meneruskan aksi konsisten dengan menunjukkan semangat juang tinggi apabila menyamakan mata 19-19 sebelum melakar kemenangan 21-19.
Ia cukup bernilai untuk membolehkan mereka ‘membalas dendam’ ke atas Astrup-Rasmussen selepas tewas 19-21, 17-21 di peringkat suku akhir Masters Malaysia pada Mei lalu dalam pertemuan terakhir kedua-dua pasangan itu.
Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM142,282.
Gandingan negara yang keluar dari naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak 1 September lalu itu sebelum ini menjuarai Terbuka Jepun dan Terbuka China.