Dalam aksi separuh akhir kejohanan Super 500 itu di Energia Areena, Pearly-Thinah yang turun sebagai pilihan ketiga dipaksa mengharungi pertarungan sengit yang berlarutan selama 1 jam 42 minit sebelum mengetepikan pilihan kedua Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun, 21-19, 19-21, 26-24.
Situasi final terbuka Hong Kong 2024 ketika pasangan nombor tujuh dunia itu membawa pulang gelaran pertama mereka, mungkin berulang jika gandingan pilihan utama Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China berjaya menewaskan rakan senegara Li Yi Jing-Luo Xu Min, dalam satu lagi aksi separuh akhir yang akan berlangsung awal pagi ini (waktu Malaysia).
Bulan lepas, Pearly-Thinaah menewaskan Sheng Shu-Tan Ning, 21-14, 21-14, untuk dimahkotakan sebagai juara Terbuka Hong Kong 2024.
Pearly-Thinaah akan menyertai pasangan profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam aksi final hari ini selepas terdahulu gandingan nombor lapan dunia itu mengejutkan pilihan utama dari China Liang Wei Keng-Wang Chang, 19-21, 21-17, 21-18, dalam aksi separuh akhir.
Pilihan kelima itu akan berdepan juara bertahan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen selepas pasangan pilihan kedua dari Denmark tersebut mengalahkan Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dari Thailand, 21-14, 21-19.
-- BERNAMA