PASANGAN beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, sekali lagi membuktikan ketahanan mental dan fizikal mereka apabila melangkah ke suku akhir Orléans Masters pada Khamis.

Namun, kemaraan ke peringkat lapan terbaik kejohanan Super 300 ini tidak hadir dengan mudah, sebaliknya diwarnai saingan sengit yang menguji kematangan permainan gelanggang mereka.

Di gelanggang Palais des Sports, Pearly-Thinaah berdepan cabaran getir daripada pasangan baharu Korea Selatan, Jeong Na-eun-Lee Yeon-woo, dalam pertarungan selama 68 minit yang mendebarkan.

Pearly-Thinaah yang berada di ranking keenam dunia itu memulakan aksi dengan langkah kanan apabila memenangi set pertama 22-20.

Namun, Na-eun- Yeon-woo tidak berputus asa, sebaliknya tampil dengan corak permainan lebih agresif pada set kedua.

Mereka berjaya menguasai set tersebut dan menang 21-11, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Dalam set yang mendebarkan itu, Pearly-Thinaah berjaya menunjukkan kematangan dan ketenangan mereka untuk memenangi set tersebut 21-14.

Sebelum ini, di pusingan pertama, Pearly-Thinaah turut berdepan cabaran getir daripada pasangan Taiwan, Nicole Gonzales Chan-Lin Chih Chun.

Mereka terpaksa berhempas pulas dalam set pertama sebelum akhirnya berjaya meraih kemenangan 25-23, 21-8.

Pearly-Thinaah dijangka berdepan ujian yang lebih besar di suku akhir.

Mereka berkemungkinan besar akan bertemu pasangan beregu wanita China yang sedang meningkat naik, Jia Yi Fan dan Zhang Shu Xian, dalam pertembungan yang pasti menjanjikan aksi mendebarkan. - Sinar Harian