Kejadian itu berlaku di sebuah kilang tekstil di bandar Abadia de Goias bulan lalu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek, seorang wanita berusia 38 tahun, mencampurkan bahan kimia ke dalam botol air milik rakan sekerjanya sebelum mangsa meminumnya dan mengalami rasa tekak seolah-olah terbakar.
Pemeriksaan lanjut terhadap bekas minuman itu mendapati ia mengandungi bahan pelarut berkepekatan tinggi yang boleh membahayakan nyawa.
Siasatan awal mendapati kedua-dua wanita itu sebelum ini berkawan rapat, namun hubungan mereka renggang selepas mangsa mendapat kenaikan pangkat yang tidak disenangi suspek.
Menurut polis, suspek turut memasuki kawasan khas pengurusan yang menyimpan bahan kimia syarikat tanpa kebenaran, dipercayai bagi mendapatkan bahan pelarut tersebut.
Mangsa yang menyedari sesuatu tidak kena selepas meneguk air itu segera mendapatkan bantuan perubatan sebelum dikejarkan ke hospital.
Mujur dia hanya mengalami kecederaan ringan dan telah pulih sepenuhnya. Bagaimanapun, doktor mengesahkan bahawa jika mangsa meminum lebih banyak air tersebut, nyawanya mungkin terancam.
Selepas meneliti rakaman CCTV, pihak polis menahan suspek pada 27 Februari lalu.
Hasil siasatan mendapati dia mengaku telah mencampurkan bahan kimia itu ke dalam minuman mangsa selepas berlaku pertengkaran antara mereka.
Suspek kini berdepan tuduhan cubaan membunuh dengan niat yang boleh membawa hukuman penjara antara enam hingga 20 tahun jika disabit kesalahan.
Tahun lalu, kes serupa pernah dilaporkan apabila seorang wanita bertindak meracun rakan sekerja yang hamil untuk mengelakkannya mengambil cuti bersalin, sekali gus mengurangkan beban kerja yang perlu ditanggung. - Sinar Harian memetik agensi
