KUCHING: Upacara perasmian temasya Sukan Malaysia (Sukma 2024) pada 17 Ogos ini di Stadium Sarawak akan memaparkan keunikan budaya dan identiti bumi kenyalang yang beraneka ragam.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak (MSS) Dayang Mariana Abang Bolhassan berkata dengan berkonsepkan Matlamat Perpaduan Membara, acara perasmian Sukma kali ini turut akan memperlihatkan semangat perpaduan yang holistik.

"Konsep keseluruhan acara ini bukan sekadar persembahan kebudayaan, tetapi sesuatu yang akan membuat Sukma kali ini lebih menarik.

"Saya mahu sesuatu yang boleh dibanggakan dan berharap cuaca juga akan menyebelahi kita pada hari tersebut untuk mengadakan persembahan yang terbaik," katanya kepada Bernama semasa mengadakan latihan penyesuaian tempat di stadium itu hari ini.

Dayang Mariana berkata seramai 1,800 peserta, yang terdiri daripada pelbagai ahli persatuan, pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta pelajar sekolah akan terlibat dalam acara tersebut.

"Para peserta juga terdiri dari semua lapisan masyarakat. Semangat mereka sungguh luar biasa, memberikan 100 peratus komitmen dalam latihan yang bermula sejak April lalu," katanya, sambil menambah beliau turut dibantu oleh 44 tenaga pengajar.

Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak dalam kenyataannya baru-baru ini memaklumkan, sebanyak 7,500 tiket masuk ke majlis perasmian Sukma akan diagihkan secara percuma pada 13 dan 14 Ogos di Stadium Sarawak bermula pukul 10 pagi.

Sukma 2024 akan membuka tirainya dari 17 hingga 24 Ogos, melibatkan sembilan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu, dan Miri.

Temasya kali ini akan mempertandingkan 488 acara, merangkumi 37 sukan, terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita, dan 35 acara campuran, serta dijangka menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

Sukma yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA