Ringkasan AI
- Kontinjen Malaysia memulakan perjuangan dengan sasaran 35 pingat emas, di Temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 bermula hari ini.
- Atlet utama termasuk pemegang rekod kebangsaan Muhammad Azeem Mohd Fahmi (100m), Umar Osman (400m), Shereen Samson Vallabouy (400m wanita), Mohamad Syafiq Md Ariffin (memanah), dan pemenang emas Sukan SEA 2023 Muhammad Syafiq Zuber (taekwondo) serta Shahmalarani Chandran (karate).
- Kontinjen Malaysia menghadapi saingan sengit dari tuan rumah Indonesia dan juara bertahan Thailand. Pada edisi 2022, Malaysia menjadi naib juara dengan 49 emas, 83 perak, dan 50 gangsa.
Dengan membariskan beberapa atlet berprofil tinggi untuk memperkasa kontinjen negara, ia jelas menampakkan bahawa KPT memberi keutamaan kepada temasya dwitahunan yang berlangsung di Surabaya-Malang bermula hari ini hingga 6 Julai itu.
Beberapa nama ini jelas menjadi pertaruhan terbaik Malaysia untuk menjelmakan kilauan emas di AUG 2024 dengan satu lagi matlamat untuk menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas.
Olahraga membariskan tiga atlet berprofil tinggi iaitu pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) lelaki Muhammad Azeem Mohd Fahmi, pemegang rekod kebangsaan acara 400m lelaki Umar Osman selaku pembawa Jalur Gemilang dan pemegang rekod kebangsaan 400m wanita Shereen Samson Vallabouy.
Selain itu, pemegang rekod kebangsaan acara berpasukan compound lelaki Mohamad Syafiq Md Ariffin turut dipertaruhkan di AUG dan pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 Muhammad Syafiq Zuber dan Shahmalarani Chandran masing-masing dari sukan taekwondo dan karate.
Namun, tugas kontinjen negara tidak mudah kerana bakal berdepan pencabar utama Indonesia selaku tuan rumah yang ketaranya mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri serta juara bertahan Thailand yang sudah pasti mahu mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang diraihnya pada edisi 2022.
Bagi Malaysia, pencapaian pada edisi lepas dengan melepasi sasaran 35 pingat emas ditetapkan sebelumnya, mungkin menjadi kayu ukur kepada penampilan kali ini dengan penyertaan atlet institusi pengajian tinggi (IPT) yang pernah mengukir nama di pentas lebih kompetitif dalam kontinjen negara.
Pada edisi 2022 yang berlangsung di Ubon Ratchathani, Thailand, kontinjen negara muncul naib juara di belakang tuan rumah selepas meraih 49 pingat emas, 83 perak dan 50 gangsa.
Malaysia menghantar 382 atlet dan pegawai bagi menggalas cabaran negara dalam 18 daripada 20 acara dipertandingkan dengan Umar sebagai pembawa Jalur Gemilang pada pembukaan temasya sukan berprestij itu.
-- BERNAMA