KUALA LUMPUR: Skuad projek khas hoki lelaki yang bakal beraksi pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, Mei ini, terpaksa menolak pelawaan Thailand dan Indonesia untuk aksi persahabatan bagi memastikan corak permainan pasukan negara menjadi 'rahsia'.

Ketua jurulatihnya, Muhammad Amin Rahim, berkata ia kerana pihaknya tidak mahu strategi pasukan diketahui oleh pihak lawan menjelang temasya dwitahunan itu yang dijadual berlangsung di Phnom Penh dari 5 hingga 17 Mei depan.

Sebaliknya, pasukan muda negara, dalam persiapan untuk Piala Dunia Remaja (JWC) pada hujung tahun ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, dijangka beraksi dalam aksi pemanas badan menentang skuad senior yang sedang bersedia menghadapi Sukan Asia Hangzhou, China, yang juga merupakan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.

"Kita tidak mahu dedahkan strategi dan corak permainan kepada musuh. Kalau tiada halangan, kita akan ke Australia minggu depan untuk latihan dan beberapa aksi menentang pasukan kelab di sana," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad remaja negara, baru-baru ini.

Walaupun hanya menghantar skuad junior untuk mencabar negara lain yang dibarisi pemain senior pada temasya di Phnom Penh, Malaysia tetap menjadi pilihan untuk mengekalkan statusnya selaku pasukan terkuat Asia Tenggara.

Sukan SEA boleh dianggap sebagai pemanas badan bagi pasukan itu menjelang Piala Remaja Asia bermula 23 Mei hingga 1 Jun di Salalah, Oman.

Namun, Muhammad Amin, berkata pihaknya enggan mendabik dada kerana tidak mahu peristiwa final edisi 2015 berulang, apabila skuad negara diheret sehingga penentuan penalti oleh tuan rumah Singapura, selepas terikat 2-2.

Malaysia, bagaimanapun, berjaya meraih emas selepas menang 4-3 menerusi penentuan penalti.

"Kita akan ada lebih kurang 30 perlawanan antarabangsa menjelang Jun. Jadi kita boleh tahu di mana tahap kita, kemudian kita tambah baik dan betulkan dari segi teknikal, taktikal dan strategi pukulan sudut penalti, selain menguji bagaimana pemain beraksi dalam tekanan dan intensiti tinggi.

"Kita kini ada 35 pemain, dan hanya akan kekalkan 30 pemain menjelang akhir April, yang akan dijangka kekal sehingga JWC nanti. Pingat emas Sukan SEA pastinya dapat membakar semangat pemain menjelang Piala Remaja Asia dan JWC," katanya.

-- BERNAMA