KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada kontinjen Malaysia yang berjaya mencapai sasaran 36 pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-31 yang berlangsung di Hanoi, Vietnam.

Menerusi catatan di Facebook di sini, beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian atlet Keluarga Malaysia.

"Tahniah! Kita telah berjaya mencapai sasaran 36 pingat emas menerusi skuad karate negara di Sukan SEA Vietnam!" katanya.

Ismail Sabri berkata bagi atlet yang tidak berjaya membawa pulang pingat, sebagai sebuah keluarga, mereka akan sentiasa disokong.

"Bagi yang tidak berjaya membawa pulang pingat, tidak mengapa, kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia sentiasa menyokong kalian.

"Kepada atlet yang masih berjuang, ayuh kita tambah lagi jumlah pingat kita!" katanya.

Kontinjen negara boleh menarik nafas lega apabila sasaran 36 pingat emas pada Sukan SEA ke-31 dicapai semalam.

Emas ditunggu-tunggu itu disumbangkan skuad karate kebangsaan menerusi acara kumite berpasukan lelaki dibarisi S. Prem Kumar, Sureeya Sankar dan R. Sharmendran menewaskan Indonesia 3-0 pada saingan final.

Lebih bermakna, bukan sahaja menghadiahkan pingat emas ke-36 kepada kontinjen negara malah skuad karate turut menamatkan kemarau 29 tahun kilauan emas dalam acara kumite berpasukan lelaki pada temasya Sukan SEA.

Terdahulu, emas ke-35 Malaysia disumbangkan atlet menembak Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin yang mencipta kejutan mengungguli final 10 meter (m) air pistol wanita pada penampilan sulungnya di Sukan SEA.

-- BERNAMA