KUALA LUMPUR: Pemain golf terbaik Malaysia Gavin Green mempamerkan satu lagi permainan cemerlang pada hari kedua kejohanan Siri Antarabangsa Singapura, dengan mencatatkan satu lagi tujuh bawah 65.

Selepas permainan tanpa bogi dan mencatatkan tujuh bawah 65 pada pusingan pertama Khamis pada kejohanan yang julung kali diadakan itu, pemain berusia 28 tahun itu mengulangi pukulan yang sama untuk mendahului kedudukan keseluruhan dengan 14 bawah 130, di Tanah Merah Country Club.

Gavin, yang meraih gelaran Order of Merit Jelajah Asia 2017, melakukan empat birdi pada sembilan lubang pertama dan tiga pada sembilan yang berikutnya, untuk mendahului pemain lain pada kejohanan yang menawarkan hadiah US$1.5 juta (kira-kira RM6.67 juta).

"Tentunya pukulan bola perlu baik pada lapangan golf di sini, anda perlu terus lakukannya ketika bermain, tidak boleh lakukan banyak kesilapan. Perlu letakkan bola pada bahagian tertentu padang, kerana ia agak becak.

"Dan walaupun anda telahpun berada pada green ia pukulan put yang sukar," katanya seperti disiarkan laman sesawang Jelajah Asia.

Pemain Thailand Phachara Khongwatmai ketinggalan tiga pukulan di belakang dengan catatan keseluruhan 133, selepas melakukan 66 semalam, manakala Veer Ahlawat dari India dan Yoseop Seo dari Korea Selatan mencatatkan 65 semalam, untuk keseluruhan 10 bawah 134.

Seorang lagi wakil Malaysia Ben Leong, terikat di tempat ke-28 bersama tujuh pemain lain dengan empat bawah 140 (71, 69), manakala Nicholas Fung gagal menempatkan diri pada kedudukan 74 terbaik.

Nicholas hanya menduduki tempat ke-80 bersama 10 lagi pemain dengan catatan keseluruhan satu atas 145, selepas melakukan pukulan 70 dan 75 pada hari pertama dan kedua.

-- BERNAMA