Subramaniam mengakui tidak terkejut dengan situasi itu memandang beliau percaya terdapat beberapa sebab di sebaliknya, bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak untuk memberikan ruang kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan dan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu berkenaan.
"Seperti yang anda semua tahu semalam, kami telah pun mengeluarkan kenyataan pendek mengenai siasatan SPRM. Kami hanya mahu menyatakan bahawa kami akan menunggu SPRM untuk melakukan penyiasatan yang perlu. Apa-apa pun kami tunggu kesimpulan mereka. Tiada ada hendak diulas ketika ini.
"Kami tidak tahu apa-apa (adakah sesiapa membuat aduan mengenai BAM kepada SPRM). Tiada ada nak dikatakan. Tunggu dan lihat," katanya selepas majlis menandatangani kerjasama BAM dengan syarikat jenama peralatan badminton terkenal YONEX.
Semalam, BAM mengesahkan bahawa pegawai SPRM datang ke pejabat persatuan itu minggu lepas untuk mendapatkan maklumat tertentu.
Menurut BAM, persatuan itu memberikan kerjasama penuh ketika lawatan tersebut dan para pegawai terbabit menjalankan tugas mereka secara profesional.
Sebelum itu, suatu portal dalam talian melaporkan bahawa suatu maklumat yang dirahsiakan pemberinya, membawa kepada penyiasatan SPRM terhadap dakwaan pegawai BAM menerima elaun tambahan tanpa kelulusan lembaga yang berkemungkinan melanggar undang-undang.
Terdahulu, Subramaniam mengumumkan lanjutan kerjasama persatuan itu dengan YONEX hingga 2028.
"Pemain kebangsaan kita telah meraih manfaat besar daripada kolaborasi ini, mencapai kejayaan hebat seperti kejuaraan Kejohanan Dunia beregu lelaki, kejayaan dalam pelbagai pertandingan Jelajah Dunia BWF, Kejohanan Remaja Dunia dan Kejohanan Berpasukan Asia dalam tiga tahun kebelakangan ini," katanya.
-- BERNAMA