Herry, yang memulakan tugas secara rasmi di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini, hari ini, berkata beliau sebaliknya memerlukan masa untuk menilai prestasi anak buahnya sebelum melakukan perubahan pada kem beregu lelaki negara.
"Sekiranya menurut saya kurang baik (prestasi beregu lelaki negara), kita akan tukar namun buat sementara waktu belum ada terfikir untuk menukar pasangan.
"Mungkin di sesi latihan sama (prestasi) namun di pertandingan tidak sama. Jadi saya mungkin lebih banyak lihat di pertandingan nanti. Kalau ditanya berapa lama, belum boleh jawab lagi," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan.
Jurulatih berusia 62 tahun yang diberi julukan 'Herry IP' itu juga tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menukar program latihan setakat ini dan mengakui memerlukan masa sebelum melakukan sebarang transformasi diperlukan.
"Jadi saya harus adaptasi dulu, nanti pelan-pelan baru kita ubah sedikit demi sedikit namun bukan secara total," katanya sambil mengingatkan para pemain agar sentiasa berasa gembira sewaktu sesi latihan.
Legenda kejurulatihan Indonesia itu pada masa sama berharap dapat membantu bekas juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik beraksi lebih konsisten, selepas terkandas di peringkat separuh akhir sebanyak dua kali pada Terbuka India 2025 dan Masters Indonesia 2025.
Beliau turut kagum dengan juara Masters Indonesia 2025 Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan optimis pasangan ke-12 dunia itu mampu meraih lebih banyak gelaran pada masa depan, berdasarkan prestasi semasa dipamerkan mereka.
Ditanya sama ada beliau berminat untuk mengatur sesi latihan bersama gandingan professional termasuk Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, beliau sebaliknya menyerahkan kepada Pengarah Kejurulatihan ABM Rexy Mainaky dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menentukannya.
Sejak meninggalkan BAM Ogos lepas, Sze Fei-Nur Izzuddin menampilkan prestasi cemerlang termasuk menjuarai Terbuka China 2024, naib juara Jelajah Dunia Akhir 2024 serta juara Terbuka India 2025 sehingga berjaya menjadi beregu lelaki kedua terbaik dunia ketika ini.
Herry yang ditawarkan kontrak empat tahun oleh BAM, merupakan jurulatih berprofil tinggi sehingga berjaya membuktikan sentuhan magisnya membentuk deretan gandingan bertaraf dunia dari Indonesia termasuk melahirkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008).
Ini kali pertama beliau mengembangkan kariernya ke luar negara setelah 31 tahun mengabadikan diri membimbing skuad badminton Indonesia.
-- BERNAMA