KUALA LUMPUR: Bintang tenis terkemuka Amerika Syarikat, Serena Williams mengikut jejak Roger Federer dan Dominic Thiem apabila mengumumkan menarik diri daripada menyertai kejohanan tenis Terbuka Amerika Syarikat 2021.

Menerusi perkongsian di laman Instagramnya, juara enam kali itu berbuat demikian selepas mengalami kecederaan otot belakang paha (hamstring).

‘’Selepas penelitian dan menerima nasihat daripada pasukan perubatan, saya mengambil keputusan menarik diri daripada menyertai kejohanan untuk edisi kali ini.

‘’New York merupakan salah satu lokasi yang mengujakan dan gelanggang yang paling saya gemari.

‘’Pastinya saya akan merindui saat beraksi bersama penonton dan saya tetap menyaksikan aksi kali ini,’’ katanya.

Perkara itu diumumkan menerusi laman Instagramnya pada Rabu.

Kegagalan membuat kemunculan di Flushing Meadow ini sekali gus menyekat misinya untuk memburu trofi Grand Slam ke-24 miliknya.

Kali terakhir ibu kepada Olympia Ohanian ini merangkul kejuaraan Grand Slam adalah menerusi Terbuka Australia 2017 menentang kakaknya, Venus Williams.

Terdahulu pada Wimbledon 2021, Serena membuat kejutan selepas menarik diri pada pusingan pertama kejuaraan menentang bintang Belarus, Aliaksandra Sasnovich.