MANCHESTER UNITED 4 EVERTON 0

Sepakan percuma Bruno Fernandes memastikan kemenangan Manchester United ke atas Everton untuk pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu melengkapkan kempen pra-musim mereka dengan kejayaan 4-0.

Fernandes melencongkan sepakannya pada minit ke-29 dari jarak 25 ela itu untuk meletakkan United tiga gol di depan dalam aksi pemanas badan terakhir yang turut disaksikan ramai peminat di Old Trafford, sebentar tadi.

Sebilangan besar penonton disajikan satu persembahan menarik tuan rumah dalam babak pertama, walaupun anak buah Rafael Benitez itu pula memberikan persaingan menarik menjelang musim pertamanya sebagai pengurus Everton.

Kesilapan Jordan Pickford, yang membuat penampilan pertama pra-musim selepas membantu England ke layak final Euro 2020, turut memainkan peranan dalam jaringan pembukaan The Red Devils pada minit kelapan -- tandukan Lucas Digne mematikan langkah penjaga golnya sendiri, dengan Mason Greenwood menyudahkan peluang terhidang.

Pickford ditewaskan buat sekian kali tujuh minit kemudian apabila seorang lagi bintang antarabangsa England, Harry Maguire, melakukan tandukan cemerlang daripada sepakan sudut Luke Shaw.

Selepas Fernandes menambah derita Everton, Solskjaer melakukan rombakan besar dalam separuh kedua sebagai persiapan permulaan sukar membuka kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leeds United.

Salah seorang pemain gantian, Diogo Dalot, menutup akaun jaringan perlawanan itu pada penghujung permainan yang menyaksikan tandukannya mengatasi Asmir Begovic.

Usaha pelawat menerusi Andros Townsend pula terkena palang gol sementara Demarai Gray melepaskan peluang keemasan ketika Everton berusaha keras sebelum tandukan Dalot itu hadir.

Tiada penampilan pertama dibuat Jadon Sancho, sambil urusan perpindahan Raphael Varane daripada Real Madrid masih belum selesai.

The Toffees pula akan menghadapi Southampton dalam pertembungan kompetitif pertama bekas pengurus Liverpool itu.