NEYMAR kembali beraksi pada Selasa selepas tidak bermain selama 369 hari apabila penyerang Al Hilal itu muncul sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua ketika pasukannya menang, 5-4 menentang juara Asia Al Ain di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Bekas penyerang Barcelona dan Paris Saint-Germain itu, tidak bermain sejak mengalami kecederaan meniskus dan ligamen di lutut kirinya ketika beraksi bersama Brazil pada Oktober tahun lalu.
Berada di bangku simpanan Al Hilal buat kali pertama sejak kecederaannya, dia dimasukkan pada minit ke-76 pada perlawanan perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Hazzan Bin Zayed di Al Ain.
"Saya perlu menyediakan Neymar dengan perlawanan. itulah satu-satunya cara yang mungkin untuk membawanya ke tahapnya yang menjadi idea pada hari ini.
"Terdapat beberapa risiko untuk pasukan, tetapi ia satu-satunya cara untuk mendapatkan salah seorang pemain penting kami kembali ke tahap tertinggi," kata jurulatih Al Hilal Jorge Jesus.
Dalam perlawanan itu, Al Hilal mendahului pada minit ke-26 menerusi jaringan Renan Lodi yang melakukan rembatan leret melepasi Khalid Essa di gawang Al Ain.
Bagaimanapun, pasukan Al Ain yang dikendalikan oleh Hernan Crespo menyamakan kedudukan pada minit ke-39 menerusi pemain antarabangsa Maghribi Soufiane Rahimi sebelum Sergej Milinkovic-Savic dan Salem Al Dawsari kembali meletakkan Al-Hilal di hadapan sebelum separuh masa pertama tamat.
Mateo Sanabria merapatkan kedudukan menerusi gol pada minit ke-63, namun Salem cemerlang menambah satu lagi gol pada minit ke-65 menjadikan kedudukan 4-2.
Al Ain cuba untuk bangkit apabila Soufiane meledakkan gol kedua peribadinya pada minit ke-67, namun Salem pantas kembali menjarakkan kedudukan buat Al Hilal menerusi hatriknya lapan minit kemudian.
Pasukan tuan rumah berjaya mendapatkan penalti pada masa kecederaan dan disempurnakan Soufiane, namun ia belum cukup untuk menghalang kemenangan Al Hilal. -- Sinar Harian