NEYMAR tampak akan meninggalkan kelab Liga Pro Saudi, Al-Hilal, selepas dia tidak didaftarkan untuk perlawanan liga seterusnya.

Pemain berusia 32 tahun itu diura-ura akan berpindah ke francais Liga Utama Bolasepak (MLS), Chicago Fire, bagi mengakhiri mimpi buruknya di Arab Saudi.

Neymar hanya membuat dua penampilan sebagai pemain gantian dalam Liga Juara-Juara AFC untuk Al-Hilal musim ini, manakala kecederaan juga menghadkannya kepada hanya tiga penampilan liga pada 2023-24.

Peluang Neymar untuk menyumbang kepada skuad kendalian Jorge Jesus itu terjejas berikutan ketua jurulatih tersebut memilih untuk tidak mendaftarkannya.

Dipetik dalam The Mirror, Jesus berkata: "Liga Saudi adalah salah satu liga terbaik di dunia.

"Semua pemain Al-Hilal boleh bermain untuk mana-mana kelab di Eropah. Neymar tidak lagi mampu beraksi di tahap yang kami harapkan.

Malangnya keadaan menjadi sukar baginya. Dia masih mempunyai kontrak bersama Al-Hilal dan mungkin terpulang kepadanya untuk menentukan masa depannya.

"Ia bergantung kepada pentadbiran.

"Saya tidak tahu apa-apa tentang masa depan Neymar.

"Kami mempunyai kuota untuk pemain yang lahir pada 2003 dan ke atas." - Stadium Astro