PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasmi mengesahkan Syazwan Andik menyertai semula pasukan itu, selepas menamatkan kontrak dengan Kuala Lumpur (KLFA) minggu lalu.

Sebelum ini, Pengarah Kesukanan Kelab JDT, Martin Prest ada menyatakan bahawa pasukan itu ingin mendapatkan pemain tersebut dan dalam perbincangan untuk membawanya kembali ke skuad Harimau Selatan.

Syazwan pernah beraksi dengan pasukan JDT II dan kemudian mengambil keputusan untuk berhijrah bagi mengembangkan lagi kerjaya bola sepaknya.

Laman Facebook, Johor Southern Tigers ada memuat naik video yang mengucapkan selamat kembali kepada Syazwan dengan mengenakan jersi terbaharu pasukan itu.


Syazwan mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya dengan Kuala Lumpur berikutan gaji yang tertunggak.

Perkara itu didedahkan Syazwan sendiri menerusi laman Instagramnya pada Jumaat lepas.

Syazwan merupakan pemain kelima menyertai JDT untuk musim baharu ini selepas Mauricio Nascimento, Aaron Niguez, Akhyar Rashid dan Diogo Luis Santo.