Komen berunsur perkauman tersebut tercetus menerusi komen di media sosial apabila seorang peminat mencemuh dan memanggilnya sebagai Dayak.
Menerusi hantaran di Instagramnya, pemain kelahiran Sarawak yang membalas komen itu tidak kisah dikecam sedemikian, namun kecewa kerana ia melibatkan isu perkauman.
"Semua bebas untuk bersuara. Nak marah, tegur, maki semua boleh, kita hanya manusia biasa dan hidup di atas muka bumi yang sama.
"Jika marah sekali pun jangan sebut soal keluarga dan kaum (Dayak). Ya, saya dilahirkan sebagai Dayak dalam darah saya.
"Saya masih berasa bangga dengannya sehingga hari ini. Jadi abang-abang dan kakak-kakak, jangan bangkitkan isu perkauman (anda bakal menyesal kemudian nanti).
"Jangan Dayak Dayak kan aku. Apa akan jadi jika orang Dayak lain lihat dan baca komen kamu? Bolehkan anda uruskan mereka?," catat beliau menerusi Instagramnya.
Bekas pemain Malaysia bawah 23 (B-23) itu juga mahu para peminat bersikap lebih matang apabila membuat sebarang komen di media sosial dengan tidak menyemai sifat kebencian.
"Jangan jadi badut dan rasis. Semoga Tuhan rahmati kamu, terima kasih. Jangan sebarkan kebencian dalam dunia bola sepak," katanya.
Ketika insiden yang tercetus pada minit ke-83 itu, Tommy dilihat mengasari Arif Aiman dan situasi itu mencetuskan pergaduhan antara kedua-dua pemain sebelum rakan sepasukan dan pengadil, Razlan Joffri Ali turut serta meleraikan pergaduhan itu.
Kedua-dua pemain kemudian dilayangkan kad kuning oleh Razlan, namun ia mencetuskan kehairanan dalam kalangan peminat yang menyifatkan mereka sepatutnya di buang padang.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, kedua-dua pemain terbabit tetap boleh dikenakan hukuman atau tindakan lanjut biarpun mereka hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan. - Sinar Harian