Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata bantuan sektor swasta amat diperlukan bagi pembangunan atlet sukan berkenaan meskipun telah mendapat sokongan MSN.
"Sekarang ini di bawah jagaan MSN, kita ada atlet Olimpik, Paralimpik dan Deaflympics dan kita mula sokong Olimpik Khas bermula tahun lepas. Jadi, apabila ada empat kumpulan ini, kita perlukan lebih banyak lagi dana untuk pembangunan sukan kumpulan masing-masing.
"Saya percaya dengan sokongan pihak swasta, kumpulan atlet ini akan bertambah baik dan prestasi mereka juga akan meningkat," katanya kepada pemberita ketika acara #GolfForGood bersama Olimpik Khas Malaysia (SOM) di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Kebangsaan SOM Kok Lee Min.
Acara sehari #GolfForGood sempena Golf Jelajah Toyota menghimpunkan pemain golf profesional dan atlet SOM sebagai simbol perpaduan, inspirasi dan keterangkuman dalam sukan.
Hannah turut menzahirkan penghargaan kepada UMW Toyota Motor dan MST Golf Group atas inisiatif #GolfForGood dalam memupuk atlet muda Malaysia termasuk mereka yang kurang upaya menerusi Golf Jelajah Toyota.
-- BERNAMA