DOHA: Jurulatih Tajikistan Petar Segrt memuji kekuatan mental pemainnya ketika The Crowns bangkit daripada ketinggalan sekali gus menewaskan Lubnan 2-1 dalam perlawanan akhir Kumpulan A saingan Piala Asia 2023 di Stadium Jassim Bin Hamad, di sini.

Kemenangan malam tadi mengesahkan tempat Tajikistan di peringkat kalah mati dalam kempen sulung mereka.

Walaupun adegan menggembirakan selepas wisel penamat yang menyaksikan Segrt kehilangan cermin matanya, pemain Croatia berusia 57 tahun itu dapat melihat dengan jelas perlawanan yang dmenangi ketika menentang Lubnan

"Ia adalah permainan yang hebat namun sukar. Jangan lupa, dua kali gol kami dibatalkan dan itu adalah keputusan yang tepat, tetapi dari segi mental ia meletihkan. Jadi saya amat berbangga dengan pemain saya, mereka berjuang dengan penuh semangat.

"Lebanon bermain dengan baik, tetapi saya fikir kami akan mendapat peluang, kami dapat melihat mereka kepenatan, jadi kami hanya perlu terus menyerang.

"Rentak permainan seperti ini anda lakukan untuk teruskan perjuangan dan kekal dalam saingan. Saya percaya kepada pemain, mereka punyai perwatakan yang hebat.

"Rakyat Tajikistan adalah pejuang dan akan berjuang sehingga ke akhirnya," katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini.

Segrt yang mengemudi Tajikistan memenangi Kejohanan Merdeka 2023 pada Oktober berkata dia berbual dengan bekas jurulatih Jerman Joachim Low sebelum perlawanan pada sebelah pagi, sambil menyuarakan kekaguman terhadap kejohanan yang hebat ini.

"Bagi kami, ini adalah impian besar untuk layak ke kejohanan ini dan impian itu diterjemahkan kepada layak ke peringkat kalah mati. Kini kami bermimpi semula," tambahnya.

Petar Segrt, jurulatih Tajikistan. - Gambar fail BERNAMA

Dalam perlawanan itu, pemain tengah Lubnan Bassel Jradi membuka jaringan seawal dua minit selepas rehat tetapi momentum berubah memihak kepada Tajikistan apabila Kassem El Zein dilayankan kad merah.

Pemain tengah Parvizdzhon Umarbaev menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-80 sebelum pemain gantian, Nuriddin Khamrokulov menanduk masuk gol kemenangan, dua minit dalam masa kecederaan.

Ketua jurulatih Lubnan yang kecewa, Miodrag Radulovic mengakui bahawa kad merah itu adalah titik perubahan dalam perlawanan yang membayangkan akan memihak kepada mereka.

"Amat sukar untuk bercakap selepas perlawanan ini kerana kami sudah menggenggam segala-galanya di tangan kami. Kami bermain dengan baik, sempurna sehingga 56 minit dan selepas hilang tumpuan sekejap, kami dilayankan kad merah. Dalam permainan yang sukar ini pastinya amat sukar untuk bermain dalam tempoh lama dengan kekurangan seorang pemain.

"Namun, saya bangga dengan prestasi dan perjuangan pasukan saya. Walaupun kurang seorang kami masih mencipta peluang untuk menjaringkan gol, pasukan ini mempunyai masa depan yang hebat," kata Radulovic.

Kekalahan itu, menyebabkan Lubnan terpaksa menanti lebih lama untuk penampilan peringkat kalah mati manakala Tajikistan terus menghidupkan impian kerana mereka akan bertemu dengan naib juara Kumpulan C pada Ahad.

-- BERNAMA