Pemain tengah Juventus dan Perancis itu digantung empat tahun oleh Tribunal Anti-doping Itali pada Februari lalu selepas ujian dadah mendapati peningkatan tahap testosterone dalam sistem badannya.
Bagaimanapun, awal bulan ini, penggantungan Pogba dikurangkan kepada 18 bulan selepas Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) mendapati dia mengambil bahan terlarang itu "bukan dengan niat".
Ia bermakna pemain berusia 31 tahun itu boleh kembali menjalani latihan pada Januari depan dan akan dapat bermain semula pada Mac depan dan Pogba menjelaskan betapa dia terdesak untuk kembali bermain bola sepak yang amat dicintainya.
"Saya bukan seperti itu, saya bukan penipu," katanya kepada Sky Sports.
"Saya seorang yang amat mencintai sukan saya. Saya sayangkan sukan ini dan saya tidak sesekali akan menipu.
"Saya suka menang secara adil, saya mungkin tidak suka kalah tetapi saya bukan penipu.
"Saya mengambil tanggungjawabnya kerana saya mengambil suplemen itu.
"Saya tidak melakukan pemeriksaan tiga kali, boleh dikatakan seperti itu, walaupun ia datang daripada seorang profesional.
"Jika saya perlu dihukum, saya menerimanya tetapi ia tidak sepatutnya empat tahun.
"Saya hanya mahu berada di atas padang, mana-mana padang. Pertama, ia bersama Juventus.
"Saya mahu berlatih bersama rakan sepasukan, sukar untuk bersendirian, bermain hantaran ke dinding.
"Fokus utama saya adalah untuk kembali berlatih, cergas dan berada di atas padang melakukan apa yang saya suka," katanya. -- Stadium Astro