PENGURUS Barcelona, ​​Ronald Koeman, menggesa Antoine Griezmann agar memikul tanggungjawab lebih besar musim ini dan membantu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Lionel Messi.
Gergasi Catalan itu meratapi kehilangan penjaring terbanyak berkenaan apabila dia rasminya diumumkan sebagai bintang baru Paris Saint-Germain (PSG) secara percuma minggu ini.
Pemilik enam Ballon d'Or itu merekodkan 672 gol selain 265 bantuan jaringan buat Barca dalam 778 penampilan sepanjang 17 tahun dalam kesebelasan utama.
Dia turut terbabit dengan 39 gol LaLiga musim lalu apabila mencetak 30 jaringan dan sembilan bantuan gol.
Griezmann merupakan pemain tunggal Barca yang mencapai dua angka pembabitan gol, 20, disusuli Ousmane Dembele, sembilan.
Ketika mereka bersiap untuk membuka kempen tanpa Messi sejak 2003-04, pengurus berbangsa Belanda itu dengan lantang menuntut juara Piala Dunia berkenaan agar memperbaiki sumbangannya.

"Saya suka bekerjasama dengannya," kata Koeman dalam sidang akhbar menjelang perlawanan pembukaan menentang Real Sociedad, awal pagi esok.
"Dia adalah pemain yang selalu membantu ketika pasukan kehilangan bola.
"Dia berasa seronok dan sering mendorong pemain lain. Tetapi dia harus ke tahap seterusnya dan lebih efektif. Dia akan menjadi sosok yang lebih penting tanpa Leo kerana dia akan mengisi peranannya."

 
Sumber Facebook stadiumastro

Penghijrahan Messi berlaku selepas Barca mencapai kata sepakat dengan bekas pemain Lyon dan Manchester City, Memphis Depay dan Sergio Aguero, tanpa pampasan.
Aguero tidak muncul untuk Barca dalam pra-musim lalu dan tersisih selama 10 minggu lagi ekoran kecederaan, namun Depay memberi impak positif dengan tiga menyumbat gol dalam empat perlawanan persahabatan.
"Saya mengenali Memphis sejak zaman kami bersama pasukan kebangsaan Belanda lagi," kata Koeman.
"Persembahannya setakat ini berkesan.
"Kami berdepan kehilangan besar berikutan pemergian Leo pergi jadi sekarang saya perlu membuat tuntutan tinggi terhadap tonggak lain juga, bukan setakat penyerang. Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki dan mencapai sasaran."
Barca menerima perkhabaran menarik apabila nama Eric Garcia dan Rey Manaj sudah didaftarkan.
Begitupun, jentera serangan mereka pincang berikutan Ansu Fati perlu diketepikan hingga rehat antarabangsa bulan depan sambil sudah ketiadaan Dembele dan Aguero.
Lantas, kemelut kewangan Barca mengheret mereka ke kancah sukar untuk mendapatkan penyerang baru.
Namun, Koeman tetap menyandarkan harapan terhadap ketibaan penggempur baru sebelum jendela perpindahan ditutup.
"Kami kekurangan pemain dan ada yang masih tercedera," katanya.
"Kami kekurangan pilihan. Itulah sebabnya kami memerlukan penyerang.
"Tetapi persoalannya apakah kita mampu menandatangani pemain terbabit. Ia bergantung kepada peraturan kewangan. Kalau boleh kami memang mahukan seorang lagi pemain."
Pertembungan dengan Sociedad itu akan menandakan kembalinya Barcelona untuk perlawanan kompetitif di hadapan peminat di Camp Nou selepas 17 bulan dengan 30,000 penyokong -- tidak sampai separuh kapasiti -- dijangka akan hadir.