Beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong mara ke separuh akhir selepas menundukkan pasangan dari Korea dalam Sukan Olimpik Rio 2016 di Stadium Riocentro di sini semalam.

V Shem dan Wee Kiong terpaksa bekerja keras selama 89 minit untuk membuat kejutan menundukkan beregu dari Korea itu dalam perlawanan yang berlarutan sehingga tiga set.

Beregu dari Malaysia itu tewas pada set pertama 17-21 kepada pasangan Lee Yong Dae dan Yoo Yeon Seong.


Namun, V Shem dan Wee Kiong kembali bangkit untuk menang 21-18 pada set kedua.

Pada set ketiga, beregu dari Korea yang merupakan pasangan nombor satu dunia memberikan tentangan sengit, dengan bulu tangkis saling bertukar tangan.

Bagaimanapun, beregu negara berjaya memenangi perlawanan pada set ketiga 21-19.

V Shem dan Wee Kiong akan menentang pasangan China, Chai Biao dan Hong Wei yang menewaskan Vladimir Ivanov dan Ivan Sozonov 21-13, 16-21, 21-16 di separuh akhir pada Selasa.