KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu memastikan prestasi pasukan bola sepak kebangsaan setimpal dengan dana yang diterimanya, kata penganalisis sukan tempatan Datuk Dr Pekan Ramli.

Ia selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi memperkasakan skuad Harimau Malaya untuk menjadi salah satu pasukan gergasi di rantau Asia.

Pada Januari 2022, mantan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada FAM sebagai sokongan ke arah pembangunan mutu bola sepak, manakala Anwar pada awal tahun ini berkata kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan RM5 juta bagi mengurus serta meningkatkan keupayaan skuad bola sepak kebangsaan selepas Piala Asia di Qatar.

Pekan menyifatkan FAM sebagai persatuan sukan kebangsaan (PSK) paling bertuah yang pastinya dicemburui oleh banyak PSK lain kerana jumlah 'durian runtuh' yang diterimanya.

"Amaun yang diterima ini dilihat begitu besar dan kita risau ia tidak setimpal dengan pencapaian prestasi skuad kebangsaan pada ketika ini dan juga untuk setahun dua akan datang. Kita tahu bola sepak ini memerlukan perbelanjaan yang besar.

"Namun, wujud persoalan tentang 'integriti' dan 'akauntabiliti' dalam proses penggunaan peruntukan itu, perlu kaedah pemantauan untuk memastikan peruntukan berkenaan digunakan bagi tujuan sepertimana yang diluluskan oleh kerajaan," katanya kepada Bernama.

Ketika Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan pagi semalam, Anwar mengumumkan peruntukan kerajaan sebanyak RM10 juta melalui Kementerian Kewangan, manakala RM5 juta komitmen daripada pihak swasta untuk memperkukuhkan skuad Harimau Malaya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu bagi memastikan Harimau Malaya dapat menjamin kebajikan pemainnya serta menggajikan barisan pengurus dan jurulatih terbaik.

Anwar turut berkata akan mengadakan pertemuan bersama FAM serta secara peribadi akan memantau dan membantu dalam usaha memperkukuh pasukan Harimau Malaya.

Sementara itu, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi kenyataan berkata pihaknya akan membentangkan struktur organisasi pengurusan skuad Harimau Malaya kepada Perdana Menteri.

-- BERNAMA