Syarikat penerbangan Emirates Airline berjaya menarik perhatian peminat Benfica ketika perlawanan antara pasukan Benfica dan Sporting Lisbon dalam Liga Primeira Portugis minggu ini dengan demonstrasi khas berkenaan 'peraturan keselamatan' perlawanan.

Beberapa minit sebelum perlawanan itu bermula di stadium Estádio da Luz, Potugal, lapan pramugari Emirates dilihat memasuki stadium itu untuk membuat demonstrasi bagi menyampaikan beberapa informasi keselamatan di hadapan 65 ribu peminat Benfica.

Antaranya ialah mengenai tempoh perlawanan, laluan ke 32 pintu stadium, bagaimana untuk meletakkan beg mereka, serta meminta peminat menjauhkan alat elektronik agar boleh menumpukan perhatian kepada pasukan mereka.

Memetik laporan Emirates 24/7, Naib Presiden Kanan Emirates, Komunikasi Korporat, Boutros Boutros berkata, ini adalah contoh terbaik yang dapat memaparkan cara mereka berhubung dengan pelanggannya melalui penajaan.

“Dengan semangat peminat Benfica, kami mengambil kesempatan untuk melakukan sesuatu yang peminat akan sentiasa ingat dan kami rasa pertunjukan demonstrasi pramugari itu berjaya meanrik perhatian."

Difahamkan, syarikat Emirates Airline telah menandatangani satu perjanjian penajaan selama tiga tahun dengan kelab Benfica pada bulan Mei lalu.


Sementara itu, video yang dimuat naik oleh Emirates di laman YouTube rasmi mereka itu mula viral di media sosial, sekali gus mengundang reaksi positif daripada netizen.