DANI Olmo mungkin tidak dapat mewakili Barcelona bermula 1 Januari ini selepas rayuan kelab itu untuk pendaftaran sementara pemain antarabangsa Sepanyol itu bagi baki musim ini ditolak.

Olmo menandatangani kontrak dari RB Leipzig pada Ogos lalu tetapi hanya didaftarkan pada separuh pertama musim ini gara-gara Barca tidak dapat memenuhi sekatan had perbelanjaan LaLiga.

Elaun empat bulan yang membolehkan Blaugrana memperuntukkan sebahagian daripada gaji mereka untuk mendaftarkan pemain tengah itu akan tamat pada penghujung bulan ini.

Mahkamah Komersial nombor 10 Barcelona kemudiannya menolak permohonan kelab itu untuk mendaftarkan sementara pemain berusia 26 tahun berkenaan bagi baki kempen musim ini.

Dan LaLiga mengalu-alukan keputusan mahkamah itu.

"LaLiga hari ini telah menerima makluman tentang keputusan itu... menolak permintaan untuk pendaftaran sementara Dani Olmo sehingga 30 Jun 2025 atas alasan bahawa tiada satu pun syarat yang diperlukan untuk menerima pakai langkah sementara itu telah dipenuhi," kata kenyataan berkenaan.

"Ketetapan itu juga menegaskan, tujuan membenarkan perbelanjaan tambahan adalah supaya kecederaan jangka panjang tidak melemahkan daya saing pasukan, bukan menggunakan kecederaan jangka panjang untuk membenarkan pendaftaran pemain yang gajinya melebihi had, iaitu apa yang FC Barcelona cuba lakukan."

Barcelona dilaporkan akan merayu keputusan mahkamah itu pada Isnin ini, sehari sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain.

Olmo, yang membantu Sepanyol memenangi Euro 2024, telah memainkan peranan penting untuk Blaugrana musim ini dengan menjaringkan enam gol dalam 15 penampilan.