MUKA baru di Manchester United, Mason Mount, berkata dia meninggalkan Chelsea selepas beberapa bulan lalu cukup jelas bahawa dia tidak akan berada dalam rancangan kelab terbabit pada masa depan.

Minggu ini, pemain tengah England itu melengkapkan perpindahannya daripada The Blues ke United dengan perjanjian hingga 2028 dengan pilihan kontrak setahun lagi menerusi tanda harga bernilai £55 juta (RM327j).

Malah, dia memilih untuk menyarung jersi nombor tujuh yang dianggap keramat di Old Trafford.

Mount memberitahu MUTV: “Beberapa bulan lalu saya fikir ia menjadi jelas bahawa saya tidak berada dalam rancangan Chelsea untuk bergerak ke hadapan dan sebaik sahaja saya tahu bahawa United berminat, keputusan saya telah dibuat.

“United merupakan sebuah kelab hebat, besar dan pemain ikonik pernah beraksi di sini jadi saya mahu menjadi sebahagian daripadanya sejak awal.

"Tiba awal, bersedia untuk pra-musim juga adalah objektif utama saya.”