KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta untuk menyediakan pelan perancangan dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) untuk menjamin peningkatan prestasi skuad Harimau Malaya.

Menurut Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), permintaan itu dikemukakan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KBS berkata, tuntutan itu dikemukakan sebagai balasan kepada komitmen kerajaan yang bersetuju memberi peruntukan RM15 juta untuk membantu usaha memperkasakan pasukan kebangsaan, termasuk skuad bawah 23 tahun kebangsaan.

"Perdana Menteri Anwar berkata demikian ketika bertemu kepimpinan FAM pada Rabu, selain turut menyatakan bahawa peruntukan itu akan dipantau secara berkala oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan KBS.

"Selain itu, KBS akan mendapatkan khidmat bantuan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk melakukan penilaian semula keberkesanan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) yang dikendalikan Majlis Sukan Negara (MSN) supaya penambahbaikan boleh dilakukan," kata KBS dalam kenyataan yang dikeluarkan, pada Khamis.

KBS turut memaklumkan, Perdana Menteri mengesahkan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan ekosistem sukan negara dan peruntukan yang disalurkan untuk Harimau Malaya tidak akan mengurangkan peruntukan yang disalurkan kepada sukan-sukan lain.