Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Latihan Sukan Universiti Malaya, Dr Mohamad Faithal Hassan yakin langkah itu membuahkan hasil dengan melihat kepada kejayaan skuad bola sepak Thailand dan Indonesia ketika ini.
“Antara satu idea boleh dipertimbang adalah individu korporat tampil mengemudi FAM namun dengan syarat mereka tiada pengaruh politik keterlaluan dan bersikap adil. Ini sudah terbukti melalui rombakan dilakukan skuad bola sepak Thailand, Indonesia dan Australia.
“Antara perkara berlaku sekarang ini terlalu banyak campur tangan pandangan pihak luar yang sangat mempengaruhi tindak-tanduk yang akan dilakukan FAM,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pantau Agenda Reformasi pada Selasa.
Dalam masa sama, Mohamad Faithal berpendapat, pelantikan jurulatih Harimau Malaya yang Baharu, Peter Cklamovski tidak akan mengubah skuad itu untuk berjaya sekelip mata jika tiada rombakan di pihak pengurusan.
Beliau turut berpandangan budaya kelab di negara ini yang kurang memberi kerjasama untuk melepaskan pemain mereka ke kem Harimau Malaya juga perlu diubah.
Dalam pada itu, Mohamad Faithal mengakui revolusi FAM ketika ini adalah petanda positif terutama dengan pelantikan Peter yang terkenal dengan corak serangan.
Tegasnya, ia sekali gus tanda permainan Harimau Malaya akan menjadi lebih agresif.
“Kim Pan Gon antara jurulatih terbaik pada pandangan saya ketika beliau kemudi FAM, dia ubah cara pemikiran pemain. Keupayaan Peter ini serupa juga dengan Pan Gon.
“Peter pada asalnya cuba ubah pemikiran dan permainan di Liga Jepun, dia cuba menerapkan dua corak iaitu Eropah dan Asia yang mana dia berjaya selamatkan pasukan dikendali sebelum ini dari J2 itu tidak jatuh ke J3,” ujarnya.