Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengotakan janjinya untuk hadir memberi sokongan kepada Harimau Malaya yang bertemu Vietnam di pentas final Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini malam ini.

Beliau yang hadir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba pada 8.30 malam lengkap berjersi kebangsaan untuk bersama-sama sekitar 80,000 penyokong Harimau Malaya menyaksikan perlawanan final pertama itu.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pemain badminton nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei, pelumba MotoGP negara Hafizh Syahrin Abdullah dan beberapa atlet lain.

Perlawanan akhir kedua di Hanoi, Vietnam akan diadakan Sabtu ini.

Kali terakhir Harimau Malaya muncul juara Piala AFF Suzuki ialah pada 2010.