Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, Arif Aiman terus konsisten dalam setiap permainannya malah turut mampu menyaingi ramai pemain import lain dalam JDT.
Menurutnya, posisi sayap kanan dalam skuad JDT kekal milik pemain berusia 22 tahun itu walaupun di posisi lain pemain tempatan perlu berdepan saingan cukup tinggi degan pemain import sekali gus membuktikan kualiti luar biasa ditunjukkan Arif Aiman.
“Dia pemain tempatan yang mempunyai kebolehan luar biasa. Memang dengan umur yang masih muda dia telah menunjukkan permainan yang baik dan boleh dikatakan setaraf atau lebih bagus daripada pemain import.
“Malah, dia juga mampu menyinar berbanding pemain import yang lain beraksi bersamanya dan ia sesuatu yang tidak ada kepada pemain tempatan lain di atas padang,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini, Arif Aiman terus membuktikan kualiti dimilikinya selepas tampil memukau meledak dua gol ketika aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25 menentang gergasi China, Shanghai Port di Stadium Bola Sepak Pudong, China.
Dia yang sebelum ini dibelenggu kecederaan dan terlepas beberapa perlawanan Liga Super terus konsisten meledak dua gol dalam aksi Liga Super menentang Kelantan Darul Naim pada Ahad.
Dalam pada itu, Jamal Nasir juga percaya pemain kelahiran Pahang itu perlu berani untuk berkelana ke luar negara sekali gus mengembangkan lagi bakat dan keupayaannya.
Beliau berkata, aksi yang dipamerkan ketika meledak dua gol dalam perlawanan ACLE baru-baru ini sudah semestinya membuka mata banyak pencari bakat untuk mendapatkan khidmatnya.
“Tahap Arif Aiman bukan tahap liga tempatan dah. Sekurang-kurangnya dia dapat menimba pengalaman lebih baik di Liga Jepun, Korea Selatan atau Eropah.
“Saya juga percaya ada pasukan luar negara akan menghubungi kelab JDT dalam masa terdekat untuk menawarkan tempat kepada Arif Aiman. Apa pun dia kena berani untuk ke saingan liga yang lebih mencabar,” katanya. - Sinar Harian