Pasukan Pilihan Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Selangor 2013 selepas mengalahkan Pilihan Singapura 3-2 pada aksi bola sepak yang penuh dramatik di Stadium Shah Alam, malam Sabtu.

Kemenangan tersebut membolehkan Pilihan Selangor kendalian P. Maniam mencatatkan kejuaraan kali keenam selepas memenanginya pada 2001, 2003, 2005 dan 2008 dan 2012.

Pada perlawanan hari ini, pasukan dari Seberang Tambak itu terlebih dahulu membuka jaringan menerusi ketua pasukanya, Aleksandar Duric seawal minit kelima selepas menewaskan penjaga gawang Selangor, Norazlan Razali.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan pilihan Selangor mengatur semula jentera serangan dan berjaya mendapatkan gol penyamaan menerusi tandukan pemain pertahanan, Adam Griffith pada minit ke-40, sekali gus menggamatkan 60,000 penyokong skuad Merah Kuning yang hadir ke stadium.

Bersambung separuh masa kedua, Pilihan Selangor yang diwakili pemain skuad Liga Super negeri berjaya menambah gol kedua pada minit ke-54 menerusi penyerang Francis Forkey Doe.

Bagaimanapun, Pilihan Singapura merapatkan jaringan menerusi tendangan penalti yang disempurnakan oleh Kamel Randani pada minit ke-70.

Forkey Doe memastikan Piala Sultan Selangor kekal di bumi 'Darul Ehsan' dengan gol kemenangan pada minit ke-74 menerusi sepakan lambung yang menarik dari luar kotak penalti pasukan pelawat.

Keputusan tersebut kekal sehinggalah tiupan wisel terakhir daripada pengadil perlawanan, Sivakorn Pu Udom dari Thailand.

Selaku juara, Pilihan Selangor membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM50,000 yang disampaikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada kapten pasukan, Mohd Asraruddin Putra Omar manakala Pilihan Singapura kendalian Patrick Vallee meraih RM10,000 selaku naib juara.

Terdahulu, Veteran Singapura berjaya membalas dendam kekalahan tahun lepas selepas menundukkan Veteran Selangor 1-0 hasil jaringan Rafi Ali pada minit ke-17.

Piala Sultan Selangor diilhamkan oleh baginda sendiri yang melibatkan pasukan pilihan serta veteran Selangor dan Singapura bagi merapatkan hubungan antara kedua-dua pihak.

Baginda juga merupakan penaung kejohanan yang diperkenalkan sejak 2001.