KEMENANGAN selesa ketika menewaskan Kelantan United telah meletakkan Negeri Sembilan sebaris dengan lapan pasukan yang layak ke suku akhir Piala Malaysia Edisi Ke-101.

Namun, cabaran sebenar juara tiga kali, skuad Hobin Jang Hobin yang mana kali terakhir dijulang pada 2011 dan jadual berhadapan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), sudah tentu akan memberi sedikit tekanan kepada anak didik K. Devan.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan ini banyak memihak kepada skuad kendalian Esteban Scolari itu, tetapi tiada mustahil jika pemain-pemain skuad Jang dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

Sebagaimana ketika pertemuan dengan Kelantan United, bahagian pertahanan Negeri Sembilan perlu diperkemaskan lagi terutama jurang di antara pertahanan dengan bahagian tengah agak jauh ketika bertahan kerana benteng mereka terlalu ke bawah dan ini akan memberi ruang kepada 'midfield' lawan mendominasi permainanan terutama apabila berhadapan JDT.

Selain itu, pemain-pemain tengah Hobin Jang Hobin juga perlu lebih berdispilin apabila bertahan ketika menangani pemain-pemain kreatif Harimau Selatan serta mampu melakukan jaringan jarak jauh seperti Juan Muniz.

Jika pemain-pemain Negeri Sembilan dapat mengekalkan disiplin mereka ketika bertahan secara berkumpulan mengikut strategi dan taktikal yang di rancang Devan, ia pasti boleh memberi sedikit kesukaran pada Harimai Selatan itu.

Apa yang perlu diberikan perhatian oleh Devan ialah sikap pemain-pemainnya terutama dalam fokus mereka ketika menjalankan tanggungjawab diberikan kerana sebelum-sebelum ini mereka akan hilang fokus dan itu sebenarnya telah memberi ruang kepada lawan.

Misalnya jaringan pertama Kelantan United. Sekiranya masalah itu berjaya diatasi ia akan memberi banyak manfaat kepada pemain-pemain Negeri Sembilan. - StadiumAstro