DOHA: Pemain pertahanan Belanda, Virgil van Dijk berkata saingan berdepan Argentina pada suku akhir Piala Dunia 2022 yang akan berlangsung pada Jumaat ini bukan sekadar untuk menyekat Lionel Messi tetapi lebih daripada itu.

Belanda melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Amerika Syarikat (AS) dalam pusingan 16 terakhir manakala Argentina mara hasil aksi cemerlang Messi ketika bertemu Australia.

Messi yang mungkin beraksi untuk kali terakhir dalam Piala Dunia kali ini, banyak memberi inspirasi namun Van Dijk berkata Argentina mempunyai pelbagai lagi kelebihan.

"Messi adalah antara pemain terbaik....tetapi kami sedang bersiap sedia bukan sahaja untuk menentangnya bahkan bagi berhadapan Argentina secara menyeluruh," katanya pada sidang media, lapor Xinhua.

Pasukan dari Amerika Latin itu juga mempunyai pemain tengah yang hebat seperti Enzo Fernandez dan penyerang muda berbakat Julian Alvarez yang telah menjaringkan gol dalam dua penampilannya sebelum ini.

"Argentina mempunyai ramai pemain hebat yang boleh membuat perubahan. Ini bukan Belanda menentang Messi semata-mata tetapi Belanda menentang Argentina," tegas Van Dijk.

Setakat ini, Belanda telah mempamerkan pernainan yang baik di Qatar dan antara empat pasukan yang belum tewas dalam kejohanan itu.

Selepas mengungguli Kumpulan A dan menundukkan AS, jurulatih Louis van Gaal berkata mereka boleh memenangi kejohanan itu dan Van Dijk percaya mereka mampu memberikan aksi terbaik.

-- BERNAMA