AL KHOR: Penyerang sensasi Qatar Akram Afif, menjadi inspirasi dalam kejayaan The Maroons bangkit daripada ketinggalan untuk layak ke peringkat suku akhir Piala Asia 2023, selepas mengatasi Palestin 2-1 pada aksi pusingan 16 terbaik di sini, malam tadi.

Pemain Al Sadd berusia 27 tahun itu, sekali lagi membuktikan kehebatannya dalam memacu skuad bimbingan Bartolome Marquez, apabila melakukan satu bantuan jaringan dan meledak gol kemenangan menerusi penalti, untuk meneruskan misi Qatar mempertahankan kejuaraan.

Pada aksi di Stadium Al Bayt itu, Palestin yang mara ke peringkat kalah mati buat julung kali, memberi amaran awal menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti Ameed Mahajneh pada minit ke-19, yang memaksa Meshaal Barsham merebahkan badan ke penjuru kiri gawang untuk menampan bola keluar.

Kesilapan pertahanan Qatar Boualem Khoukhi, hampir menghukum pasukan apabila tandukan kurang kemasnya menyaksikan bola disambut Oday Dabbagh, namun rembatan penyerang itu di dalam kotak penalti melambung tinggi melewati palang gol pada minit ke-24.

Palestin kendalian Makram Daboub, akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-37 menerusi Dabbagh yang melepaskan rembatan leret ke arah penjuru kanan gawang yang gagal diselamatkan Barsham, menyaksikan Qatar dibolosi buat kali pertama pada kempen kali ini.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah bimbingan Bartolome Marquez menyamakan kedudukan pada lewat masa tambahan separuh masa kedua, menerusi ketua pasukannya Hasan Al Haydos selepas menyudahkan sepakan penjuru diambil Afif, yang mengelirukan barisan pertahanan Palestin.

Afif, kemudiannya muncul wira pasukan apabila menyempurnakan penalti, selepas empat minit separuh masa kedua bersambung susulan Almoez Ali dijatuhkan Mohammed Saleh.

Ia merupakan gol keempat Afif pada kempen kali ini, selepas menyumbat tiga gol pada saingan kumpulan, sekali gus menghampiri pendahulu senarai penjaring terbanyak pertandingan, Aymen Hussein dari Iraq yang mengumpul enam gol.

Palestin cuba bangkit dengan mencipta beberapa peluang cantik menuju hujung permainan, namun gagal disudahkan dengan baik sekali gus terpaksa akur ditunjukkan jalan keluar sebaik wisel penamat dibunyikan.

Menanti Qatar di pentas suku akhir Sabtu ini ialah pemenang antara Uzbekistan dan Thailand, yang akan membuat perhitungan esok di Stadium Al Janoub, Doha, hari ini.

-- BERNAMA