Gol tunggal perlawanan yang dijaringkan pada babak kedua permainan di Stadium Jassim Bin Hammad itu sudah cukup untuk memberikan kemenangan kedua kepada skuad Socceroos kendalian Graham Arnold, yang kini mengumpul enam mata berbaki satu aksi kumpulan.
Syria bimbingan Hector Raul lebih menguasai permainan terutama pada separuh masa pertama sebelum Australia memecah kebuntuan menerusi penyudah dari jarak dekat Irvine pada minit ke-59.
Penyerang Pablo Sabbag sebelum itu terlepas peluang keemasan untuk meletakkan Syria di hadapan apabila rembatannya, selepas menerima hantaran Ibrahim Hesar, hanya terkena tiang dan melantun ke dakapan penjaga gol Maty Ryan.
Ryan sekali lagi berdepan saat mencemaskan iaitu ketika permainan memasuki suku terakhir, apabila beliau gagal menangkap kemas bola rembatan pemain pertahanan Mouaiad Al Ajaan yang jatuh ke atas garisan gol sebelum berjaya menampannya keluar, sekali gus memastikan kemenangan Australia.
Australia yang merupakan juara 2015 akan menutup kempen saingan Kumpulan B dengan bertemu Uzbekistan pada Selasa manakala Syria perlu menundukkan India untuk mencerahkan peluang ke pusingan kalah mati pada hari yang sama.
Sementara itu, Uzbekistan di bawah bimbingan Srecko Katanec menghidupkan peluang ke pusingan 16 terbaik selepas merakam kemenangan sulung dalam kempen kali ini dengan menumbangkan India 3-0 pada satu lagi aksi Kumpulan B di Stadium Ahmed Bin Ali.
Ketiga-tiga gol Uzbekistan terhasil pada separuh masa pertama menerusi jaringan Abbosbek Fayzullayev, Igor Sergeyev dan Sherzod Nasrullayev yang membantu pasukan mengutip tiga mata pertama.
Uzbekistan kini hanya dua mata di belakang Australia di posisi kedua manakala Syria di tempat ketiga mengutip satu mata dan India tercorot tanpa sebarang mata.
India kini memerlukan tiga mata menentang Syria untuk berpeluang mara sebagai satu daripada empat pasukan terbaik di tempat ketiga.
-- BERNAMA