IPOH: Acara sukan permotoran lasak terpanjang di Asia, Rimba Raid Lenggong 2024 di Tasik Raban, Lenggong dijangka menerima penyertaan 279 peserta daripada 25 negara.

Acara berlangsung dari 25 hingga 29 Sept ini melibatkan trek sejauh 300 kilometer, yang terpanjang di rantau ini melalui hutan berusia 130 juta tahun, jalan balak dan berbatu serta merentas sungai, bukit dan gunung.

Pengasas Rimba Raid Kapten Datuk Nik Huzlan Nik Hussain berkata acara yang memasuki edisi kesembilan itu tidak membabitkan laluan hutan dara dengan pihaknya telah mendapatkan pandangan serta nasihat daripada pihak berkuasa berkaitan.

"Kesemua trek yang bakal digunakan ini adalah bekas laluan lori balak yang telah ditinggalkan lebih 20 tahun dan hanya menggunakan lebih kurang satu meter sahaja saiz laluannya. Kita memang menitikberatkan soal penjagaan hutan," katanya pada sidang media majlis pra pelancaran Rimba Raid Lenggong 2024 di sini pada Sabtu.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong.

Nik Huzlan berkata tiga kategori dipertandingkan iaitu MasterClass A, Class B dan Class C yang dibezakan saiz enjin jentera dengan penyertaan peserta tempatan pada kali ini menunjukkan peningkatan dan melebihi jumlah penyertaan peserta luar negara iaitu 167 orang.

"Jika di Rimba Raid tahun lepas di Taman Negara Kuala Tahan, Pahang hanya 50 peratus daripada 270 peserta berjaya menamatkan perlumbaan, kali ini kita sasarkan lebih 75 peratus akan sampai ke garisan penamat," katanya menambah peserta bakal berdepan beberapa halangan termasuk 'Lurah Sampah' dan 'Slope of Hope'.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata acara berkenaan memberikan impak besar kepada industri pelancongan di Lenggong.

"Saya difahamkan lebih 100 penduduk tempatan akan diambil bekerja sebagai pegawai keselamatan, penunjuk arah termasuk melibatkan kerja penyelamatan sepanjang kejohanan berlangsung," katanya.

-- BERNAMA