ENGLAND 1 AUSTRALIA 0

Jordan Henderson diejek penyokong sendiri ketika Ollie Watkins menjaringkan gol tunggal untuk England mengatasi Australia 1-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley awal pagi tadi.

Dengan keadaan stadium yang dipenuhi penyokong, England kelihatan bergelut untuk menewaskan Australia dalam perlawanan yang dianggap persediaan untuk menghadapi Euro 2024 di Jerman tahun depan.

England berpotensi untuk mendapatkan tiket kelayakan ke Euro 2024 lebih awal sekiranya dapat menewaskan Itali dalam aksi Kumpulan C, pusingan kelayakan di venue sama awal pagi Rabu ini tetapi prestasi semasa di atas padang menunjukkan ia bukan tugas mudah buat mereka.

Watkins, yang melakukan penampilan antarabangsa pertama sejak Mac 2022, muncul penyelamat The Three Lions apabila menyumbat masuk bola lintangan Jack Grealish pada minit ke-57.

Prestasi penyerang Aston Villa itu meningkatkan peluangnya untuk menjadi pengganti kepada kapten England, Harry Kane, yang diletakkan di bangku pemain simpanan dalam pertemuan kali ini dan memberikan kesempatan untuk Henderson memakai lilitan lengan.

Terdengar ejekan dari tempat duduk penyokong ketika nama Henderson diperkenalkan sebelum perlawanan itu, yang merupakan aksi pertamanya di laman sendiri sejak perpindahan kontroversinya ke pasukan Arab Saudi, Al-Ettifaq.

Ejekan itu kemudian bertukar menjadi cemuhan apabila dia digantikan dalam separuh masa kedua perlawanan berkenaan.