PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola, tidak berpuas hati apabila nama Jack Grealish tersenarai dalam skuad England menjelang saingan Liga Negara-Negara UEFA (UNL), November ini susulan pemain itu masih belum cergas sepenuhnya.

Pengurus sementara England, Lee Carsley, telah mengesahkan penyertaan pemain sayap itu dalam skuad The Three Lions dengan menjelaskan bahawa dia telah kembali berlatih selama beberapa hari serta akan dinilai oleh kakitangan skuad kebangsaan.

Begitupun, setelah tidak melibatkan Grealish dalam perlawanan menentang Brighton, Guardiola mengakui keputusan tersebut sukar untuk diterimanya sambil menjelaskan bahawa Carsley tersilap mengenai aktiviti latihan pemain berusia 29 tahun itu.

Guardiola dalam sidang media mengatakan: "Pasukan kebangsaaan sentiasa beraksi dalam tempoh ini, dan saya gembira untuk pemain pergi mewakili negara apabila mereka dalam keadaan cergas dan tidak bergelut (kecederaan) sejak beberapa minggu lalu.

"Dia tidak turun untuk berlatih dalam masa 17 hari, dan hari ini (semalam) merupakan latihan pertamanya dengan dia hanya turun berlatih selama 20 minit sahaja. Itulah realitinya," katanya.

Guardiola belum lagi menghubungi Carsley mengenai situasi itu dan dia tidak mengetahui mengenai sebarang perbualan dan informasi antara unit perubatan dan Machester City.

Apabila berbicara dengan Grealish yang masih belum menjaringkan sebarang gol dalam 10 aksi bersama Manchester City, pemain itu tetap menanam hajat beraksi untuk England. - Stadium Astro