Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terpaksa berhempas pulas menewaskan Mathias Christiansen-Christinna Pedersen dari Denmark untuk mara ke suku akhir Kejohanan Perodua Masters Malaysia esok.

Peng Soon berkata perasaan gugup menganggu permainan mereka sehingga terpaksa bertarung lebih sejam untuk menundukkan pihak lawan itu dengan rubber set 21-18, 13-21 dan 21-18 di Arena Axiata, Bandaraya Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil.

Menanti mereka selepas ini adalah beregu pilihan kedua Tan Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong yang menewaskan pasangan campuran K.Yogendran dari Malaysia dan Prajakta Sawant dari India dengan straight set 26-24, 21-12.

"Hari ini saya berasa sedikit gugup dan banyak melakukan kesilapan terutamanya pada set kedua. Saya juga terlalu gopoh dalam perlawanan tadi," kata Peng Soon kepada pemberita selepas perlawanan.

Liu Ying berkata tahap keyakinan dirinya pula masih rendah untuk menghadapi pencabar yang kuat namun beliau cuba mengawal emosi untuk memenangi perlawanan itu.

"Saya masih mencari keyakinan diri saya untuk berlawan dengan pencabar yang kuat kerana sudah lama tidak bertanding kerana kecederaan. Sekurang-kurangnya perlawanan sengit ini dapat membantu saya lebih yakin untuk perlawanan esok," kata Liu Ying.

Sementara itu hanya pemain profesional negara, Liew Daren yang menggalas cabaran negara bagi acara perseorangan lelaki selepas menyingkirkan pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin, 21-17,19-21, 21-16 dalam masa satu jam 10 minit.

Namun nasib tidak menyebelahi seorang lagi pemain negara Lee Zii Jia yang kalah kepada Jonatan Christie dari Indonesia dalam pertarungan sengit, 21-19, 14-21 dan 15-21

Turut tersingkir adalah tiga beregu wanita negara iaitu Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen, Vivian Hoo-Woon Khe Wei (pilihan kelapan) dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.

Dalam pada itu pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen masih mengekalkan rentak kemenangan dengan kemenangan mudah ke atas B. Sai Praneeth dari India dengan 21-17, 21-8.

-- BERNAMA