KUALA LUMPUR: Pemain beregu wanita negara M. Thinaah teruja untuk kembali bekerjasama dengan bekas jurulatihnya Rosman Razak yang bakal menggalas tugas ketua jurulatih beregu wanita bermula bulan depan.

Thinaah berkata jurulatih berusia 48 tahun itu individu penting yang berjaya mengubah kariernya daripada seorang pemain perseorangan sehingga muncul antara beregu terbaik dunia.

"Apa yang buat saya teruja tentang Rosman kerana saya pemain beregu. Dulu dia yang terima saya selepas saya tidak mahu teruskan jadi pemain perseorangan.

"Sudah pasti kembali bekerjasama semula dengan beliau sesuatu yang menggembirakan saya," katanya dalam audio yang dikongsikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Selasa lepas, BAM mengumumkan pelantikan Rosman sebagai ketua jurulatih beregu wanita dan bekas pemain kebangsaan itu akan memulakan tugasnya pada 5 Nov ini.

Rosman yang mempunyai pengalaman hampir dua dekad akan bekerjasama rapat dengan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky serta jurulatih skuad senior Ching Kai Feng dan jurulatih remaja Amelia Anscelly dalam mengukuhkan serta memajukan sektor beregu wanita.

Dalam pada itu, Thinaah optimis sentuhan Rosman mampu membantunya dan pasangan Pearly Tan untuk meningkatkan lagi prestasi pada kejohanan mendatang.

"Jurulatih Rosman seorang yang lebih tenang. Ini yang diperlukan dalam permainan terutama ketika saat genting. Perkara kecil seperti ini boleh memberikan kesan besar kepada kami," katanya.

-- BERNAMA