NEW DELHI: Pakistan dan Turkiye akan meneruskan usaha bersama di forum pelbagai hala (multilateral) untuk memerangi Islamofobia.

Kenyataan itu dikeluarkan dalam satu kenyataan bersama pada akhir rundingan politik terbaharu kedua-dua negara, diketuai oleh Timbalan Menteri Luar Turkiye, Nuh Yilmaz dan Setiausaha Luar Pakistan, Muhammad Syrus Sajjad Qazi di Islamabad pada Isnin.

"Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan inisiatif bersama di forum multilateral dalam semua bidang yang menjadi kepentingan bersama termasuk dalam memerangi Islamofobia," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pakistan dan Turkiye menyuarakan kebimbangan terhadap perang berterusan Israel di Gaza dan genosid terhadap rakyat Palestin.

Kedua-dua pihak juga berpuas hati dengan penglibatan mereka di pelbagai forum termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Kerjasama Ekonomi (ECO) dan kumpulan D-8 untuk kerjasama ekonomi.

-- BERNAMA