TOMPOKAN awan memenuhi langit ketika para peminat astronomi cuba merakam fenomena Hujan Meteor Perseids awal pagi tadi di pantai Trombol, Telaga Air kira-kira 30 kilometer dari bandaraya Kuching.

Fenomena yang berlaku setiap tahun itu, bermula sekitar 17 Julai hingga 24 Ogos dan boleh disaksikan dengan mata kasar di lokasi yang gelap dan bebas daripada pencemaran cahaya.

Hujan Meteor Perseids merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit apabila bumi beredar merentasi laluan orbit Komet Swift-Tuttle.

Komet Swift-Tuttle dianggarkan mempunyai nukleus yang berdiameter sebesar 26 kilometer dan mengambil masa selama 133 tahun untuk melengkapkan orbitnya.

Bintang-bintang menghiasi langit sewaktu fenomena Hujan Meteor Perseids ketika tinjauan Bernama di Empangan Sungai Selangor, Kuala Kubu Bharu malam tadi. --fotoBERNAMA

Orang ramai mula berkumpul di pekarangan padang Sekolah Menengah Kebangsaan Kepong untuk melihat sendiri fenomena Hujan Meteor Perseids yang bermula tengah malam ini sehingga subuh ketika tinjauan di Kuala Lumpur malam tadi. --fotoBERNAMA

Peminat astronomi merakam fenomena Hujan Meteor Perseids di Santuari Ikan Air Tawar, Tasik Timah Tasoh di Padang Besar, awal pagi tadi. --fotoBERNAMA

Semasa komet tersebut mengorbit menghampiri matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan proses pemejalwapan akhirnya akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet tersebut.

Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang. Komet ini kali terakhir mendekati bumi pada 1992 dan dijangka akan menghampiri bumi semula pada 2126. - Sinar Harian