NEW DELHI: Pakistan pada Ahad menyertai gesaan antarabangsa agar Israel bertanggungjawab atas jenayahnya di Gaza, dengan kekejaman terbaharu melibatkan pembunuhan hampir 100 rakyat Palestin di sebuah sekolah pada Sabtu.

"Menyerang sekolah yang padat dengan pelarian, terutamanya ketika mereka sedang menunaikan solat Subuh adalah tindakan kejam, tidak berperikemanusiaan dan pengecut.

"Serangan sembarangan terhadap penduduk dan kemudahan awam merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan merupakan jenayah perang," kata Kementerian Luar Negeri Pakistan dalam satu kenyataan.

"Israel mesti bertanggungjawab atas genosid di Gaza. Kami menyeru masyarakat antarabangsa, terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan negara-negara yang menyokong Israel untuk mengambil langkah segera bagi menamatkan kekejaman dan melindungi rakyat Gaza," katanya.

Dengan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin kini memasuki hari ke-300, tragedi di Gaza mendedahkan kelemahan dunia dalam menghadapi sokongan Barat terhadap rejim Israel..

Malaysia antara negara yang menyeru tindakan antarabangsa untuk memaksa Israel berdepan keadilan atas jenayah yang dilakukannya.

Sekurang-kurangnya 93 rakyat Palestin, termasuk 11 kanak-kanak dan enam wanita maut dalam serangan ke atas Sekolah Al Taba'een di Bandar Gaza.

Serangan ke atas Al Taba'een merupakan serangan Israel ke-21 terhadap bangunan sekolah sejak 4 Julai, menurut Pejabat Hak Asasi Manusia PBB.

- BERNAMA