IPOH: Empat kekalahan dalam lima aksi Liga Super berpunca daripada kegagalan pemain Perak FC menerbitkan keyakinan diri bagi mencipta kemenangan.

Ketua jurulatih Perak FC Yusri Che Lah berkata berdasarkan pemerhatian dalam semua perlawanan, para pemain termasuk tonggak import kerap melakukan kesilapan mudah yang memberi peluang kepada pihak lawan untuk menghasilkan jaringan.

"Selama ini saya mempertahankan pemain saya, tetapi untuk kali ini saya minta maaf, apa yang mereka tampilkan seolah-olah tiada keinginan bagi mencipta kemenangan.

"Punca utama yang saya nampak adalah tahap keyakinan dalam diri semua pemain amat rendah. Kebanyakan kekalahan mengulang skrip sama iaitu kesilapan mudah yang tidak sepatutnya berlaku, termasuk penalti," katanya.

Terdahulu, Perak yang melayani kunjungan Penang FC tumpas 0-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Perak melalui jaringan pemain import dari Brazil Rodrigo Da Silva Dias pada minit ke-45 serta Muhammad Alif Ikmalrizal Anuar di minit ke-90.

Kekalahan itu menyaksikan skuad The Bos Gaurus berada di tangga ke-11 dengan tiga mata, manakala Penang FC di kedudukan ketujuh menerusi kutipan enam mata selepas masing-masing mengharungi lima perlawanan liga.

Yusri berkata rombakan pemain berkemungkinan dilakukan di beberapa posisi yang bertujuan meningkatkan semula prestasi pasukan dalam mengharungi baki perlawanan liga.

"Kita tidak boleh lagi tercicir mata dan perlawanan di tempat sendiri sepatutnya menjadi tempat kita mencari kemenangan. Saya harap pemain ambil iktibar daripada apa yang telah berlaku," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Penang FC Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata beliau memuji kesungguhan pemainnya yang disifatkan bermotivasi tinggi untuk mengutip tiga mata penuh di gelanggang lawan.

Beliau berkata kemenangan diraih menjadi penanda aras penting bagi mewujudkan aura positif yang membantu dalam meningkatkan prestasi pemain.

"Kami perlu bergerak ke hadapan dan perlawanan ini seharusnya dijadikan motivasi oleh pemain untuk kita bersaing dengan pasukan-pasukan hebat dalam Liga Super," katanya.

-- BERNAMA